Saturday, March 25, 2006

Tudung

Just 'kopi dan pasta'. Diambil daripada ruangan surat pembaca..
-harakahdaily-

Sesuatu yang amat memeranjatkan, malah mungkin mengecewakan dan amat terhina kepada seluruh umat Islam di Malaysia ini, apabila Menteri Pelajaran dan timbalannya telah mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan pemakaian tudung pelajar-pelajar perempuan di sekolah. Lebih malang lagi, tidak kedengaran langsung suara-suara manusia muslim yang mahu mempertahankan hukum menutup aurat ini.
Saya tidak sempat mendengar komen Menteri Pelajaran, tetapi saya sempat mendengar kenyataan Datuk Noh Omar, Timbalan Menteri Pelajaran yang baru itu apabila ditanya oleh para wartawan di lobi Parlimen Malaysia dan disiarkan oleh televisyen tempatan dalam berita jam 8 malam pada 22 Mac 2006 (Rabu) berkenaan pemakaian tudung di kalangan pelajar.
Tanpa sedikit pun rasa bersalah, beliau telah menyatakan dengan bersandarkan kepada akta pendidikan bahawa pemakaian tudung bukan suatu kewajipan untuk pelajar perempuan. Guru juga tidak boleh memaksa pelajar perempuan untuk memakai tudung, malah pelajar perempuan yang dipaksa memakai tudung boleh membuat aduan (malah mungkin boleh menyaman) kepada pihak berkaitan agar 'nasibnya terbela'.
Beginikah sikap seorang Islam? Membelakangkan apa yang telah diputuskan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran? Tidakkah Datuk mengetahui bahawa apabila kita sebagai hamba Allah ini, apabila membelakangkan hukum-hukum Allah boleh membawa kepada tergelincirnya aqidah? Tidakkah Datuk terasa bahawa dengan kenyataan tersebut, Datuk telah menghina dan mengecewakan seluruh institusi Pendidikan Islam serta para ustaz dan ustazah yang mengajar anak bangsa supaya patuh kepada perintah Allah? Malahan lebih malang lagi kalau guru-guru yang memaksa pelajar-pelajar perempuan ini disaman oleh pelajar (serta ibu bapa mereka) sudah pasti mereka akan menang dalam perbicaraan tersebut kerana peraturan yang dibuat menyebelahi mereka. Aduhai guru, malang sungguh nasibmu!
Tidakkah Datuk terasa bahawa dengan kenyataan tersebut, Datuk seolah-olah 'membakulsampahkan' buku teks Pendidikan Islam yang digunakan di semua sekolah kerajaan dan swasta, yang mana kos untuk menulis, menyemak, mencetak dan mengedarkan buku-buku tersebut menelan belanja jutaan ringgit? Soalan-soalan ini saya lontarkan kepada Menteri Pelajaran dan Timbalannya kerana saya rasa terlalu sedih dan kecewa dengan keadaan yang berlaku ini.
Hukum menutup aurat sememangnya sudah disepakati oleh ulama' Islam, dulu, kini dan selamanya. Hanya ada segelintir manusia engkar sahaja yang sanggup mempertikaikan hukum ini! Adakah kita termasuk golongan yang engkar ini? Kalau kita tidak termasuk dalam golongan ini maka kita perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan pelajar-pelajar Islam daripada mendedahkan aurat mereka di khalayak umum. Susah sangatkah kita hendak mengubah peraturan yang kita sendiri cipta? Apatah lagi peraturan tersebut berlawanan dengan ayat-ayat Allah s.w.t! Sekarang ini Parlimen Malaysia sedang bersidang, gunakanlah kesempatan ini untuk memperbetulkan keadaan. Ubahlah peraturan yang salah ini. Wajibkanlah pemakaian tudung kepada wanita-wanita Islam.
Seseorang muslim yang sudah 'aqil baligh wajib menutup auratnya apabila berada di hadapan orang yang bukan mahramnya. Firman Allah s.w.t dalam ayat 59 Surah al-Ahzab yang bermaksud:
( Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaian mereka bagi menutup seluruh tubuh (ketika keluar); cara yang demikian itu lebih senang supaya mereka dikenali (sebagai wanita yang baik-baik) dan agar mereka tidak diganggu atau disakiti… )
Itu adalah tanggungjawab yang wajib dilaksana, jika enggan, seseorang muslim itu boleh dipaksa untuk menutup aurat sepertimana paksaan bagi muslim yang enggan bersolat, mengeluarkan zakat dan seumpamanya. Paksaan ini bukanlah suatu kezaliman kepada mereka tetapi paksaan ini menyelamatkan mereka daripada menzalimi diri sendiri akibat melanggar hukum Allah yang sudah pasti akan diazab oleh Allah di akhirat kelak!

No comments: