Monday, October 15, 2007

Serikandi Dakwah (4)

Asy-Syifa' binti Abdullah al-Adawiah al-Quraisyiah (meninggal dunia pada tahun 20 Hijrah) : Seorang sahabat wanita yang terkemuka. Pada zaman Jahiliah beliau sudah pandai menulis dan setelah kebangkitan Islam beliau mengajar Hafsah (isteri Rasulullah s.a.w) membaca. Rasulullah s.a.w memberikan kepadanya sebuah rumah di Madinah. Umar bin al-Khattab selalu mengutamakan pendapatnya.

Juwairiah binti Abi Sufian (meninggal dunia pada 54 Hijrah) : Seorang sahabat dan pejuang wanita yang turut berjuang fi sabilillah dalam peperangan Yarmuk, di mana beliau turut menggempur musuh secara berdepan. Beliau juga sempat mengikuti beberapa pertempuran lain yang membuktikan bahawa beliau memang wanita yang sangat berani.

Khaulah binti al Azwar al-Asadi (meninggal dunia pada tahun 35 Hijrah) : Seorang penyair yang terdiri dari kalangan wanita yang berani pada masa beliau. Tugas beliau hampir sama dengan Khalid bin al-Walid dalam pasukan tenteranya. Beliau mengetahui banyak cerita-cerita tentang penaklukan Syria malah syair-syairnya dianggap sebagai syair yang menggambarkan kemuliaan dan kemegahan.

Rufaidah al-Ansariah (meninggal dunia pada tahun 35 Hijrah) : Seorang sahabat wanita yang selalu merawat tentera yang cedera. Beliau mewakafkan dirinya untuk membantu para mujahidin dan beliau dianggap sebagai jururawat pertama dalam sejarah Islam. Beliaulah yang memikul Saad bin Abi Waqqas masuk ke dalam kemahnya sewaktu peperangan Khandaq serta merawat luka-lukanya.

Zainab binti Ali bin Abi Talib (meninggal dunia pada tahun 62 Hijrah) : Beliau adalah adik-beradik kandung Hasan dan Husain. Beliau sempat mengikuti peristiwa Karbala bersama saudaranya Husain. Beliau merupakan seorang penceramah yang fasih dan disegani.



No comments: