Tuesday, July 04, 2006

Ghairah bola, umat Islam tidak peduli Zionis sembelih saudara seagama

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Hrkh) - Ketika sesetengah umat Islam dilalaikan dengan menyertai keghairahan melampau pesta Piala Dunia Bola Sepak, rejim Zionis mengambil kesempatan menyembelih umat Islam Palestin, sekali gus memalukan pertubuhan sejagat ummah seperti OIC yang terus membisu.
Peristiwa ini seakan mengulangi Tragedi 1967, iaitu ketika orang Arab disibukkan dengan sebuah kejohanan bola sepak, Israel menyerang Sinai, menyebabkan dunia Arab dan Islam dimalukan.
Pendedahan perkara ini dibuat Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, dalam pertemuan dengan Harakahdaily dan sebuah persatuan pelajar Islam.
Laporan terkini menyebut melancarkan serangan besar-besaran di Gaza dalam usaha berterusan mengekang kebangkitan parti Islam Hamas dengan menjadikan isu penculikan seorang askarnya bagi 'menjustifikasikan' keganasannya.
Israel mempersiapan dua rejim infantri membabitkan 5,000 askar serta dua batalion perisai di sempadan Gaza untuk melakukan serangan besar-besaran itu dengan arahan Perdana Menterinya, Ehud Olmert.
Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohd Hilmi Ramli dalam kenyataannya, mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan rejim Zionis itu.
"Israel yang kejam, menggunakan kesempatan Piala Dunia ini untuk menyerang penduduk Palestin," katanya.
"Lebih malang lagi, tindakan tersebut seolah-olah tidak dipedulikan oleh masyarakat dunia termasuk negara Islam dan OIC, kerana terlalu 'obses' dengan gelombang Piala Dunia," katanya.
Beliau yang turut mengutuk dan membantah serangan tersebut, berkata umat Islam perlu sedar dan tidak alpa kerana isu Palestin bukan semata-mata isu umat Islam tetapi merupakan isu kemanusiaan sejagat yang perlu ditangani bersama.
Sejak rejim Zionis dimalukan pejuang Palestin selepas dua askarnya mati dan seorang ditawan dalam serangan nekad di Gaza, serangan udara artileri dilancarkan setiap hari ke atas Gaza, termasuk mensasarkan bangunan kerajaan Hamas dan pejabat Perdana Menteri Palestin.

No comments: